
KUALA LUMPUR: KNKV Viral Award 2024 yang bersiaran secara langsung jam 9 malam di TV2 pada 20 Februari 2024 lalu berjaya mencapai lebih 1 juta tontonan menurut data yang dikeluarkan oleh RTM.

Acara berprestij anjuran KNKV Group itu dianjurkan di Zepp, Kuala Lumpur bagi meraikan pencapaian pempengaruh digital, pencipta kandungan dan laman viral yang mengamalkan penerbitan isi kandungan positif serta bermanfaat untuk pengikut mereka di Malaysia.
“Tahniah kepada KNKV Group yang telah menganjurkan KNKV Viral Award buat tahun ke-2 dengan kerjasama RTM tahun ini,” ucap Nasrul Hakim Md Joh, Timbalan Pengarah Bahagian Program TV RTM yang turut bertindak sebagai salah seorang juri KNKV Viral Award 2024.
Menurut Nasrul Hakim, setiap calon telah dinilai secara adil oleh peminat mereka sendiri dan seterusnya finalis dinilai melalui penjurian juri profesional.

Nasrul Hakim Md Joh, Timbalan Pengarah Bahagian Program TV RTM
“Kita menilai terus dari content itu sendiri serta kualitinya. Isi kandungan yang memberikan kesan positif kepada masyarakat dan mengangkat martabat setiap mereka yang menontonnya,” tambah beliau.
Turut sama dalam senarai juri professional KNKV Viral Award 2024 adalah Profesor Adjung Haji Adam Richman Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group yang bertindak selaku ketua juri, Wan Utama Pengarah Eksekutif KNKV Viral Award 2024, Dato’ Kamil Othman Pengerusi FINAS, Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim Penasihat Shariah KNKV Group, Puan Eneng Faridah Iskandar Ketua Bahagian Perancangan Strategi SKMM serta Penerbit & Pengarah Filem/Drama prolifik, Rashid Sibir.
Anugerah Viral 2024 KNKV bukan sahaja meraikan kecemerlangan dalam penciptaan kandungan digital tetapi juga selaras dengan visi Malaysia Madani, yang bertujuan membina kerangka perpaduan yang berpanjangan dalam komuniti digital negara untuk kesan sosial yang konstruktif. Kejayaan acara dan pengiktirafan kepada pempengaruh digital Malaysia ini menekankan pentingnya penciptaan kandungan digital positif dalam membentuk lanskap digital yang harmoni di negara ini.
Menurut Profesor Adjung Haji Adam Richman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, penekanan difokuskan kepada pentingnya peminat mengenali, menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh para pempengaruh kesayangan mereka serta menyoroti profesionalisme penciptaan isikandungan mereka sesuai dengan tema KNKV Viral Award 2024, Menginspirasikan Perubahan, Mengiktiraf Yang Luar Biasa.
“Tahun depan kita merancang untuk menganjurkan di dalam stadium supaya lebih ramai penonton boleh hadir bagi menyatakan sokongan kepada pempengaruh kesayangan mereka.”

Profesor Adjung Haji Adam Richman ketika ditemuramah oleh Berita Perdana RTM
“Untuk tahun ini, kita independently finance this project up to RM2 juta. Kalau kita ada penajaan untuk tahun hadapan kita boleh buat yang lebih gah untuk meraikan pempegaruh yang telah berperanan dalam menerbitkan konten bermanfaat serta mewujudkan suasana yang positif dalam media sosial supaya media digital kita lebih positif untuk generasi masa depan,” jelas Profesor Adjung Haji Adam Richman.
Rakaman penuh Malam Anugerah KNKV Viral Award 2024 boleh disaksikan di youtube rasmi KNKV Group atau boleh disaksikan menerusi pautan di bawah:







