
Ditulis oleh: Nurhaiza Nordin
Sejajar dengan penekanan kepada pendidikan keusahawanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menganjurkan INTERNATIONAL CONVENTION ON RESOURCEFUL ENTREPRENEURS ACHIEVING TOMORROW’S EXCELLENCE (I-CREATE 2024) iaitu program yang menerapkan elemen inovasi dalam keusahawanan yang akan berlangsung pada 10 – 13 Jun 2024.
Objektif utama penganjuran program ini adalah bertujuan untuk menghubungkan kerjasama strategik di antara warga universiti dan pihak industri bagi melahirkan usahawan pelajar yang berdaya saing tinggi.
Program I-CREATE 2024 menggabungkan enam (6) program utama yang memacu pembangunan inovasi dan keusahawanan yang bersifat global. Antara program yang terlibat adalah Carnival of Megapreneurship and Innovation 3.0 (COMEI 3.0) yang bertujuan untuk memupuk semangat keusahawanan di kalangan pelajar melalui aktiviti-aktiviti menarik seperti pameran produk dan inovasi, pembentangan poster serta e-business idea pitching.
Seterusnya adalah Jom Franchise Exhibition Day (JFED) yang bertujuan untuk meningkatkan ilmu pelajar berkaitan perniagaan francais melalui kehadiran dan penglibatan pihak industri francais sepanjang program dijalankan.

Initiative for Meaningful Project and Community Transformation (IMPACT) turut mengambil bahagian di bawah program I-CREATE di mana pelajar dapat melibatkan diri bersama komuniti setempat melalui program kemasyarakatan yang berimpak tinggi.
Selain itu, Accounting, Banking and Islamic Finance Festivals (AIFIF) dirangka untuk menambah kefahaman pelajar tentang bidang perakaunan, kewangan dan perbankan islam melalui forum, perkongsian, dan pameran oleh pihak industri sebagai persediaan awal pelajar dalam memenuhi keperluan pendidikan dan industri.
Sementara itu, Revolutionizing Ideas and Startup Excellence (RISE) memberi ruang kepada pelajar untuk mempamerkan konsep perniagaan yang inovatif melalui business showcase dan pitching bersama mentor akademik dan industri. Akhir sekali, NEWeek memberi ruang kepada pelajar untuk mempraktikan teori keusahawanan yang telah mereka pelajari melalui aktiviti keusahawanan yang dibangunkan oleh pelajar sendiri.
Malah, kesedaran terhadap kepentingan pemasaran digital dalam pembangunan keusahawanan telah mendorong pihak Fakulti untuk menganjurkan Bengkel Pemasaran Digital yang merupakansalah satu program utama di bawah program NEWeek dan mendapat tajaan sepenuhnya dari pihak KNKV Group.
Bengkel ini bertujuan untuk memperkasakan pelajar dalam dunia pemasaran digital dalam keusahawanan. Ia dijangka akan berlangsung secara hibrid dalam tempoh tiga (3) hari, iaitu bermula dari 16 Mei 2024 hingga 18 Mei 2024, serta melibatkan seramai 892 pelajar Tahun 1 UMK, lima tenaga akademik UMK dan lima tenaga pelatih dari KNKV Group.


Bengkel ini memberi impak yang positif kepada pelajar dan seterusnya kepada pihak universiti. Seramai 104 pelajar, menghadiri bengkel secara fizikal, manakala selebihnya seramai 788 orang pelajar menyertainya secara dalam talian bagi memastikan penglibatan yang menyeluruh sekaligus memberi peluang kepada pelajar untuk mempertingkatkan pengetahuan keusahawanan dalam pemasaran digital.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memberikan pelajar pemahaman yang mendalam berkaitan konsep dan strategi pemasaran digital yang penting dalam perniagaan pada masa kini. Bengkel ini juga akan melatih pelajar untuk menggunakan platform pemasaran digital secara praktikal (hands-on) di mana para pelajar akan mempelajari cara untuk menggunakan pelbagai platform pemasaran digital merangkumi media sosial, e-mel pemasaran, SEO, dan banyak lagi. Pelajar akan dibimbing untuk membangun dan mengurus platform pemasaran digital mereka sendiri dan pada masa yang sama akan meningkatkan peluang kejayaan dalam perniagaan yang diceburi. Bengkel ini dilihat dapat menyemarakkan semangat keusahawanan dalam diri setiap pelajar sekaligus mampu mendorong mereka untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. Pihak Fakulti yakin bahawa ekosistem pendidikan keusahawanan di FKP dapat diperkukuhkan lagi apabila para pelajar diberi kemahiran ke arah digitalisasi.


Melalui penganjuran bengkel ini dengan kerjasama erat dengan pihak KNKV Group, pihak Fakulti berusaha untuk menjadi proaktif dalam menerapkan nilai dan minda keusahawanan dalam kalangan pelajar. Dengan objektif yang jelas dan impak yang dijangka, Bengkel Pemasaran Digital ini merupakan satu inisiatif yang amat signifikan bersama pihak industri dalam memperkasakan keusahawanan digital di kalangan pelajar UMK.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja akan memperluaskan kefahaman pelajar mengenai pemasaran digital, tetapi bakal menyemarakkan lagi semangat keusahawanan dalam jati diri mereka. Penglibatan aktif pelajar dalam bengkel ini diharapkan akan memupuk keyakinan dan keupayaan mereka untuk memulakan perniagaan sendiri, sekaligus mengangkat FKP sebagai sebuah Fakulti yang terkemuka dalam menerapkan dan memperkasakan minda keusahawanan. Dengan sokongan penuh dari pihak KNKV Group, bengkel ini pastinya akan menjadi platform yang amat berkesan dalam mengasah bakat dan minat pelajar dalam dunia keusahawanan yang berkonsepkan digitalisasi.







