Skip to main content
search

KNKV Group, Kementerian Perpaduan Bekerjasama Wujudkan KNKV Viral Award 2025

KNKV Group mengumumkan kerjasama strategik bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Media Prima Berhad dalam penganjuran KNKV Viral Award 2025 pada 23 Disember 2025.

Acara berprestij ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam dunia penciptaan kandungan digital.

Majlis pelancaran yang diadakan di Kampai Yakiniku, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak-pihak terlibat, menandakan kerjasama yang penting bagi memupuk semangat perpaduan melalui media sosial.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Hajjah Dr Zurainah Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Profesor Adjung Hj. Adam Richman dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator K. Saraswathy.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Mohd Rafiq Mat Razali dan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios.

KNKV Viral Award 2025 akan menjadi edisi ketiga selepas kejayaan besar dua edisi sebelumnya, masing-masing pada 2023 dan 2024, yang menyaksikan acara dengan skala besar serta penyertaan luar biasa dari pempengaruh media sosial.

Sebagai penganjur utama, KNKV Group terus memperkukuh reputasinya dalam memperkenalkan dan mengiktiraf bakat-bakat digital yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Acara ini akan disiarkan secara langsung di TV3, menjadikan ia lebih mudah diakses oleh audiens lebih besar, sekali gus mengukuhkan pengaruhnya.

KNKV Group dan Kementerian Perpaduan jalin kerjasama

Dalam usaha untuk mempromosikan perpaduan dan kerjasama nasional, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) percaya bahawa media sosial memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

K. Saraswathy berkata, “Kolaborasi ini akan menjadi satu program unik dalam kalendar kementerian. Ini merupakan kolaborasi yang dimahukan untuk membawa satu perubahan dalam media sosial.”

Melalui kerjasama ini, KNKV Viral Award 2025 diharapkan dapat menjadi platform yang memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Selain itu, KNKV Viral Award 2025 dijangka lebih gilang-gemilang, dengan penglibatan lebih daripada 700 pempengaruh tempatan dan antarabangsa, termasuk penglibatan pempengaruh dari Singapura.

Majlis puncak acara akan berlangsung pada 17 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di mana pemenang daripada pelbagai kategori akan diumumkan dan diraikan.

Putri Jannah Izwandy, seorang pelakon dan pempengaruh yang turut hadir ke majlis pelancaran, memberi semangat kepada semua pempengaruh dengan berkata, “Semua influencer di luar sana boleh teruskan untuk membuat konten. Mungkin anda akan menjadi salah satu calon untuk KNKV Viral Award 2025!”

Acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada pempengaruh media sosial untuk menonjolkan hasil kerja mereka, tetapi juga menginspirasi lebih banyak kreativiti dalam dunia digital.

Dengan kerjasama antara KNKV Group, Kementerian Perpaduan Negara (KPN), dan Media Prima Berhad, acara ini diharap akan memberikan impak yang lebih besar di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

©KNKV Group Sdn Bhd. All Right Reserved